OKTOBER 2022

PRU-15: Budaya GPS Serah Kepada Pengerusi Tentukan Bakal Calon


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan budaya menyerahkan kepada Pengerusinya bagi menentukan bakal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Budaya kita dalam GPS menyerahkan kepada Premier yang juga Pengerusi GPS bagi menentukan bakal calon dalam pilihan raya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Rindok Ati Media Bersama Komuniti Petra Jaya di Dewan Masyarakat Kampung Pinang Jawa, Kampung Gita, Petra Jaya, Kuching.

Fadillah berkata, beberapa muka baharu akan ditampilkan GPS berikutan ada Ahli Parlimennya menawarkan untuk tidak bertanding lagi.

"Maknanya adalah muka baharu, berapa ramai, saya pun tak pasti," katanya.

Beliau berkata,  jentera GPS juga sudah diarahkan bersiap sedia menghadapi PRU-15 dan menungu apa sahaja kemungkinan.

"Tak kiralah (PRU-15) tahun ini atau tahun depan, kita dah bersiap-siaga," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti